Halaman

25 November 2011

Kem Tengku Muhammad Ismail diserah kepada Majlis Pengangkap

Oleh FAUZI MOHD

Kem Pengangkap Tengku Muhammad Ismail yang dibina dengan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM10 juta akan diserahkan kepada Majlis Pengangkap Negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kem bertaraf antarabangsa itu mempunyai
prasarana lengkap seperti dewan terbuka, pejabat urusetia, 65 bilik biasa dan 24 bilik tetamu khas antara pusat pengangkap yang terbaik di Asia.

Katanya, berkapasiti sehingga 15,000 peserta perkhemahan, kem itu akan diberi peruntukan khas dari semasa ke semasa oleh Kerajaan Terengganu bagi memberi nilai tambah seperti langskap, tandas dan bilik mandi serta komponen perkhemahan.

“Saya difahamkan sudah ada beberapa negara seperti Jepun yang berminat untuk menyewa kem ini bagi aktiviti ahli pengangkap negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Jambori Malaysia ke-12 dan Terengganu International Scout Jamboree 2011 di Telaga Batin, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB. Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Pengakap Negara, Dato’ Seri Dr. Shafie Mohd Salleh.