Halaman

17 November 2011

Hepatitis A tidak jejas sektor pelancongan Tasik Kenyir

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri Terengganu yakin wabak penyakit Hepatitis A di beberapa kampung di Hulu Terengganu tidak akan menjejaskan sektor pelancongan di Tasik Kenyir.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata ini kerana wabak itu tidak melibatkan kawasan lain di daerah Hulu Terengganu.

"Kita percaya virus ini tidak menjejaskan sektor pelancongan di Tasik Kenyir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ecxo, semalam.

Beliau berkata setakat ini, virus itu dikesan di Kampung Basoh, Pasir Dula dan Padang Setebu yang menyebabkan 42 orang terpaksa dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Virus ini dikesan di Kampung Basoh, Pasir Dula dan Padang Setebu yang menyebabkan 42 orang dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Pada peringkat awal, wabak itu berlaku di perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Berua, menyebabkan penduduknya berpindah ke atas bukit,” katanya.

Beliau berkata secara kebetulan, kawasan bukit itu merupakan sumber air yang dibekalkan beberapa kampung termasuk tiga yang terlibat dengan wabak berkenaan.

"Jadi, kemungkinan ada pembuangan najis dan sebagainya yang menyebabkan virus atau kuman itu merebak ke kawasan terlibat," katanya.

Dato’ Seri haji Ahmad juga berkata ketika melawat kampung terlibat semalam, beliau mendapati penduduknya menggunakan air bukit walaupun mendapat bekalan air bersih yang disediakan Syarikat Bekalan Air Terengganu (SATU).

“Selain itu, air yang mereka minum tidak dimasak terlebih dahulu dan dibuat ketulan ais, katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan kawasan wabak agar memasak air sebelum meminumnya