Halaman

01 November 2011

Harap Irfan kekal bersama Terengganu - MB

Oleh FAUZI MOHD.

MENTERI Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berharap Irfan Bakti Abu Salim berfikir dua kali sebelum membuat keputusan mengejut untuk tidak terus bersama pasukan Terengganu pada musim hadapan.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) dan jurulatih berasal dari Kelantan itu untuk mendapatkan kepastian dan penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

Sebelum ini katanya,beliau dimaklumkan PBSNT ada menawarkan kontark kepada Irfan Bakti untuk dua musim lagi namun tidak tahu mengapa beliau enggan menyambung kontak itu.

"Saya akan berbincang dengan kedua-dua belah pihak mengenai perkara ini dan berharap jurulatih itu terus dapat berkhidmat dengan pasukan Terengganu kerana beliau telah banyak membawa kejayaan kepada pasukan ini." katanya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita pada majlis perasmian Sukan Rakyat Mega Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu di Kampung Jeram, Manir, Kuala Terengganu, malam tadi.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, beliau tidak bermaksud mahu campur tangan dengan pihak pengurusan PBSNT tetapi khidmat jurulatih yang berusia 60 tahun itu masih diperlukan untuk misi kejuaraan akan datang.

"Saya berpuas hati dengan khidmat beliau sepanjang membimbing pasukan Terengganu dan saya berharap beliau akan kekal bersama Terengganu untuk tahun hadapan." Kata Ahmad.

Irfan Bakti yang membimbing pasukan Terengganu selama dua musim sehingga pasukan itu muncul naib juara Piala malaysia dan turut membantu Terengganu menduduki tangga kedua Liga Super selain memenagi Piala FA musim ini.

Semalam, Irfan Bakti mengumumkan akan meninggalkan Terengganu apabila kontraknya berakhir 31 November ini.