Halaman

23 November 2011

Banjir di tiga daerah semakin buruk

Oleh; Esah Abdullah

Jumlah mangsa banjir di tiga daerah yang dilanda banjir di negeri meningkat kepada 1,439 orang pagi ini berbanding 373 orang petang semalam.



Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyatannya memaklumkan, daerah Setiu mencatat jumlah mangsa paling ramai berada dipusat pemindahan iaitu 671 orang diikuti Besut 560 orang dan Hulu Terengganu 208 orang.

Sehubungan itu, jumlah pusat pemindahan turut bertambah iaitu sembilan di Besut, tujuh di Setiu dan lima di Hulu Terengganu, membabitkan balai raya, dewan serbaguna, masjid dan sekolah.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga mengesahkan paras air di beberapa sungai utama di negeri ini telah melebih paras bahaya pagi ini.

Di Besut, paras air di Kampung La mencecah 19.54 meter berbanding paras bahaya 19.20 meter dan di Jambatan Jertih bacaannya ialah 8.73 meter melebihi paras amaran 8.10 meter.

Manakala Sungai Nerus di Kampung Bukit mencatat bacaan 13.56 meter berbanding paras bahaya 12 meter dan di Kampung Langkap, Setiu 21.95 meter (bahaya 21.50 meter).

Keadaan cuaca pagi ini mendung dan sesekali berlaku hujan lebat disertai angin kencang.