Halaman

13 November 2011

54 atlet Terengganu wakili negara ke Sukan SEA, 4 ke Olimpik 2012

Oleh FAUZI MOHD

Memang kena pada namanya sebagai kuasa baru sukan tanah air, atlet dari Terengganu merupakan jumlah paling ramai mewakili negara ke Sukan SEA di Indonesia.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said berkata, seramai 54 orang atlet atau 11.03 peratus daripada keseluruhan atlet negara ke sukan dwi tahunan itu adalah dari Terengganu.

"Kita negeri yang paling besar penyumbang kepada atlet negara untuk bersaing di peringkat sukan SEA yang berlangsung di Jakarta dan Palembang," katanya baru-baru ini.

Beliau berkata atlet Terengganu mewakili acara bola lisut, kenu, silat, basikal, sepak takraw, judo, olahraga, bola sepak, memanah dan lawang pedang.

Berbangga dengan kejayaan itu, kerajaan negeri memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap atlet dari Terengganu ke sukan itu.

Dato’ Seri Ahmad berkata, empat atlet Terengganu iaitu dua dari cara lumba basikal dan dua atlet memanah turut layak mewakili negara ke Olimpik tahun depan.

Katanya,atlet terbabit ialah Azizol Hasni Awang dan Fatihah Mustapa dari acara berbasikal dan Khairul Anwar Mohamad serta Nurul Syafiqa Hashim dari acara memanah.

“Seorang lagi pelumba basikal Mohamad Adiq Husainie Othman pula termasuk dalam program Road to London,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memberi sumbangan kepada atlet berkenaan sebelum mereka bertolak ke London nanti.