Halaman

07 November 2011

1,000 warga Besut hadir Majlis Jamuan Rakyat Aidiladha

Oleh: Mohammad Ishak



Sambutan Aidiladha di daerah Besut tahun ini dimeriahkan dengan Jamuan Rakyat dan pengagihan daging korban kepada masyarakat Islam sekitar daerah itu semalam.

Program anjuran UMNO Bahagian Besut yang berlangsung di Medan Selara Bandar Jerih memberi peluang kepada masyarakat Islam dan bukan Islam menjamu selera . Dua ekor lembu yang tidak dikorbankan bagi membolehkan bukan Islam menyertai program itu turut disembelih untuk jamuan.

Lebih 1,000 masyarakat Islam termasuk lima pemimpin UMNO Bahagian berkenaan hadir meraikan jemputan sambil mengagihkan daging korban.

Antara yang hadir ialah Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh (ADUN Jertih), Timbalan Ketua Umno Bahagian, Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut), Naib kertua, Muhammad Pehimi Yusof (ADUN) Kota Putera, Setiausaha Bahagian, Dr A Rahman Mokhtar (ADUN Kuala Besut),

Bendahari, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin (Ahli Parlimen Besut), Ketua Pemuda,Mahadi Musa, Ketua Wanita, Engku Naimah Engku Taib dan Ketua Puteri, Che Senah Deraman.

Sebanyak tujuh ekor lembu sumbangan wakil rakyat kawasan berkenaan termasuk dua sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), disediakan untuk majlis jamuan dan daging korban yang diasingkan.

Setiausaha Umno Bahagian, Dr A Rahman berkata, program yang diadakan di tempat terbuka itu mendapat sambutan penduduk setempat kerana ia berlangsung di pusat bandar memudahkan orang ramai menghadiri majlis itu.

“Pada tahun ini semua wakil rakyat kawasan Besut sepakat mengadakan majlis setempat bagi memberi peluang rakyat hadir dan bertemu semua pemimpin,” katanya.