Halaman

03 October 2011

YIT mula bayar tunggakan elaun

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Islam Terengganu (YIT) bersetuju membayar tunggakan elaun selama 10 bulan kepada 2,900 Guru Khidmat Masyarakat di Terengganu bermula hari ini (2 Oktober).

Pengarah YIT, Md Kamaru Al- Amin Ismail, berkata elaun tunggakan itu adalah bagi kenaikan yang diterima RM150 sebelum ini kepada RM300 sebulan.

Menurutnya, tunggakan bayaran yang diterima bermula 1 Januari lalu hingga Oktober nyata mengembirakan golongan itu di mana sebelum ini terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama.

“Kenaikan bayaran elaun ini sebenarnya pengiktirafan besar kepada guru khidmat masyarakat kendalian YIT seperti guru Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) dan guru kelas berzanji yang selama ini berkorban masa mengendalikan kelas-kelas di kampung.

“Pihak kami mengharapkan dengan bayaran tunggakan dan kenaikan elaun ini membuatkan mereka lebih bermotivasi dalam menjalankan tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2011 dan Penganugerahan Pensijilan 5S Yayasan Islam Terengganu (YIT) di Menara YIT, Kuala Terengganu, semalam (3 Oktober) .

Perasmian majlis disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Hadir sama, Timbalan Pengarah YIT Haji Alias bin Jaafar dan Pegawai Perunding Perbadanan Produktiviti Malaysia Terengganu, Puan Muhaslizawati.

Haji Md Kamaru Al-Amin turut memberitahu, permohonan menjadi guru khidmat masyarakat sentiasa mendapat sambutan.

Menurutnya, dianggarkan 200 permohonan yang diterima pihaknya setiap tahun bagi menggantikan guru bersara dan permohonan untuk menjadi guru baru di kampung.

“YIT mengenakan syarat yang agak ketat untuk seseorang itu memohon sebagai guru khidmat masyarakat, termasuk perlu menghadiri kursus, mendapat sokongan Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan & Kemajuan Kampung (JKKK) dan wakil rakyat kawasan,” katanya.