Halaman

23 October 2011

YIT cetak 5,000 al-Quran Digital


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said (kiri) mencuba al-Quran Digital sambil diperhatikan Pengarah YIT, Haji Md Kamaru al Amin. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh FAUZI MOHD

TERENGGANU boleh berbangga apabila satu lagi teknologi baru, al-Quran Digital telah diperkenalkan Yayasan Islam Terengganu (YIT) bagi memudahkan pembacaan al-Quran di kalangan masyarakat.

Naskah itu merupakan buku elektronik yang dilengkapi 30 juzuk al-Quran di samping menggunakan teknologi skrin sesentuh selain berupaya mengeluarkan suara bagi memudahkan pengguna mendengar setiap bacaan dialunkan.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, cetakan pertama berjumlah 5,000 naskah itu menjadikan Terengganu berjaya menambah satu lagi usaha dalam menjadikan masyarakat di negeri ini celik al-Quran.




Katanya, selain mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), naskah yang dijual dengan harga RM330 seunit itu didatangkan dengan terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

"Justeru, saya berharap masyarakat dapat mengambil peluang memanfaatkan kemudahan yang telah diperkenalkan ini agar didikan awal al-Quran dapat diterapkan dalam jiwa mereka," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran Kanak-kanak Tadika peringkat negeri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan di Gong Badak, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB. Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB. Khazan Che Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah.



Seramai 7,930 kanak-kanak tadika di seluruh negeri menyertai program tersebut yang menggabungkan pelajar tadika empat jabatan iaitu YIT, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Pelajaran Negeri serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Daripada jumlah itu, 3,525 kanak-kanak daripada Jabatan Pelajaran Negeri, KEMAS (2,375), YIT (1,780) dan JPNIN (250).

Tambah Dato' Seri Ahmad, al-Quran Digital merupakan sebuah buku elektronik yang praktikal dan mudah di bawa selain memberi kemudahan kepada pengguna belajar membaca al-Quran dengan betul.

"Ia sesuai untuk golongan cacat penglihatan dan praktikal untuk pembelajaran kelas al-Quran di peringkat sekolah," katanya yang ditemani isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud.



Dalam pada itu, Menteri Besar dalam ucapannya berkata, sejak dilancarkan oleh Kerajaan Negeri tahun 2006, seramai 24,445 kanak-kanak telah menerima Sijil Khatam al-Quram melalui Program Pintar al-Quran ini.

Katanya, ia merupakan pertambahan 1,684 berbanding tahun lalu dan termasuk dalam jumlah itu, 332 kanak-kanak berjaya hafaz Surah Yasin dan 176 mampu menghafaz surah itu bersama terjemahannya.

"Program itu sebahagian daripada agenda merakyatkan pembangunan seiring dengan usaha menjadikan negeri ini sebagai 'anjung ilmu' yang akan dilakukan berterusan malah akan terus ditingkatkan," ujar beliau.