Halaman

22 October 2011

Wanita UMNO Bahagian Besut anjur Hari Keluarga

Oleh: Mohammad Ishak



Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Besut menganjurkan program Hari Keluarga membabitkan ahli daripada empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlimen Besut.

Timbalan Ketuanya, Toh Puan Seri Wan Naimah Abd Latif berkata, program itu bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin dengan ahli dan komuniti setempat.

Katanya, semua Pengerusi Penyelaras DUN iaitu DUN Kuala Besut,Hulu Besut,Kota Putera dan Jertih, sudah mengadakan program berkenaan mulai semalam.

Menurunya, baki dua lagi DUN akan mengadakan program sama di kawasan masing-masing dalam minggu ini.

Beliau berkata, program membabitkan aktiviti riadah secara sederhana itu diharap dapat menjalin semangat kerjasama antara ahli serta penduduk setempat.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi setiap kawasan terbabit diwajibkan hadir pada program yang diadakan di kawasan masing-masing,” katanya.

Wan Naimah berkata, menerusi program itu walaupun diadakan secara sederhana ia menampakkan kesungguhan ahli akar umbi mengambil bahagian dalam setiap acara yang diadakan.

Selain hari keluarga,katanya, pihaknya juga turut mengadakan sesi “Sembang Petang” membabitkan pemimpin Wanita dengan ahli di semua peti undi parlimen Besut bermula minggu lalu.