Halaman

19 October 2011

Tingkat kerjasama bendung jenayah

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan akan meningkatkan kerjasama dengan beberapa negara rantau ASEAN dalam usaha membendung gejala penyeludupan manusia serta jenayah siber yang menjadi isu utama masa kini.

Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Lee Chee Leong berkata, kerjasama itu membabitkan China, Korea, Jepun, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

“Setakat ini kita mendapat kerjasama erat daripada negara luar serta semua agensi penguatkuasa dalam negara bekerja keras bagi menangani ancaman itu,” katanya.

Dato’ Lee Che Leong berkata demikian dalam sidang media di majlis Pemakaian Pangkat Kehormat Rela kepada Ketua-ketua Bahagian MCA Terengganu di Mingstar Hotel Kuala Terengganu petang semalam.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Ketua Polis Terengganu Dato’ Jamshah Mustafa; Pengarah Rela Kelantan, Kolonel Mohd Ravi Mohamad dan Pemangku Pengarah Rela Terengganu, Kolonel Mohamad Abu Bakar.

Katanya, sejumlah tiga juta anggota Rela seluruh negara boleh membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen dan Kastam menjaga keselamatan negara daripada pelbagai ancaman luar.

“Semangat kesukarelawan yang menebal kalangan anggota Rela perlu dimantapkan lagi dengan penglibatan lebih ramai pemimpin masyarakat,” katanya.



Dato’ Lee Chee Leong kemudiannya telah menyempurnakan Pemakaian Pangkat Kehormat Rela kepada 10 orang pemimpin kanan Parti MCA Terengganu yang diketuai Dato’ Toh Chin Yaw.