Halaman

15 October 2011

Tiga tadika YIT akan dibina

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan membina tiga tadika di beberapa daerah di Terengganu dalam tempoh terdekat, melibatkan kos keseluruhan RM10.5 juta.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al- Amin Ismail, berkata antara kawasan yang terlibat adalah Seberang Takir (Kuala Terengganu), Al Muktafi Billah Shah (Dungun) dan Kijal (Kemaman).

Katanya, setiap tadika yang dibina itu membabitkan kos RM3.5 juta, termasuk kemudahan, peralatan dan kelengkapan bagi proses pembelajaran di tadika itu nanti.
“Tadika YIT di Seberang Takir sudah hampir siap dan dijangka akan memulakan operasi bagi sesi persekolahan tahun 2012. Malah sudah ada ibu bapa membuat permohonan yang ingin menghantar anak masing-masing di tadikan itu.

“Pihak kami mengharapkan pembinaan ketiga-tiga buah tadika ini akan memenuhi permintaan di kawasan yang terlibat dan kita sentiasa bersedia menambah tadika di kawasan yang di lihat terdesak serta kawasan tumpuan bagi membolehkan kanak-kanak mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.

Encik Md Kamaru Al- Amin turut memberitahu, kira-kira 8,000 kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal di institusi kelolaan kerajaan negeri dan Pusat di Terengganu dijangka menyertai Majlis Khatam dan Pintar al-Quran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 22 Oktober ini.

Bilangan itu melibatkan kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun daripada empat gabungan tadika iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional.

Katanya pihaknya bangga kerana program yang dianjurkan lima tahun berturut-turut itu bukan saja dapat meningkatkan jumlah penyertaan malah mendapat sokongan pelbagai pihak terutama ibu bapa.

“Pada tahun lalu, seramai 7,000 kanak-kanak daripada empat tadika sama berjaya khatam al-Quran dengan sempurna,” katanya.

Katanya, YIT akan membuka tiga buah lagi tadika membabitkan kos keseluruhan hampir RM10 juta di tiga daerah di negeri ini.