Halaman

28 October 2011

Terengganu siap sedia hadapi banjir


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir, terutama berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Sebanyak 112 pangkalan hadapan yang diwujudkan di seluruh negeri bagi menghadapi banjir sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketika bencana itu berlaku.

Bagi tujuan itu, pihak berkuasa menyediakan 347 pusat pemindahan banjir yang mampu menempatkan 51,700 mangsa, berbanding 48, 192 orang pada tahun lalu.

Sebanyak 98 pusat perpindahan disediakan di daerah Besut, Setiu (35), Hulu Terengganu (78), Kuala Terengganu (25), Marang (23), Dungun (52) dan Kemaman (36).

Seramai 11,082 mangsa banjir mampu ditempatkan di Besut, Setiu (2,738), Hulu Terengganu (8,640), Kuala Terengganu (7,300), Marang (4,100), Dungun (9,615) dan Kemaman (8,270).

Semua agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pejabat-pejabat daerah telah bersiap sedia menjalankan tanggungjawab masing-masing jika banjir berlaku.

Majlis Keselamatan Negeri (MKN) juga telah bersiap sedia dengan pelbagai barang keperluan mangsa banjir seperti bekalan makanan dan minuman, selimut serta lampin bayi di Depot Simpanan Keperluan Bencana di Pulau Kerengga, Marang, bagi tujuan yang sama.

Bilik gerakan banjir akan dibuka segera sebaik saja terdapat mangsa banjir yang berpindah, bagi memudahkan urusan penghantaran bekalan dan maklumat semasa mengenai banjir.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang, etindakan.terengganu.gov.my bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini berkaitan situasi bencana alam itu di Terengganu.