Halaman

20 October 2011

Tahniah, tapi perlu waspada - MB

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melahirkan rasa bangga dengan keupayaan barisan pemain bola sepak Terengganu yang mampu menundukkan Selangor 2-0 dalam perlawanan di tempat lawan Isnin lalu.

“Tahniah dan syabas kerana berjaya membawa bekal selesa untuk perlawanan timbal balik kedua di negeri ini Sabtu ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Wisma Darul Iman semalam.

Sehubungan itu Menteri Besar mengingatkan barisan pemain perlu berwaspada serta jangan leka dan rasa selesa dengan kedudukan itu kerana dalam bola sepak serba kemungkinan boleh berlaku.

Katanya, jika di tempat lawan kita mampu tunjukkan permainan cemerlang, di gelanggang sendiri lebih lagi dan elak daripada rasa terlalu selesa.

Ketika diminta mengulas kekalahan 4-2 pasukan T-Team kepada Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Ahmad ternyata kecewa dengan kecuaian barisan pertahanan yang gagal mengekang kemaraan pasukan lawan.

“Saya minta pihak pengurusan T-Team lakukan sesuatu kerana masih belum terlambat jika semua pemain dapat ubah sikap dan elak bermain dalam keadaan tertekan,” katanya.

Perlawanan kedua Sabtu ini, Terengganu bertemu Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu manakala T-Team bertemu Negeri Sembilan di Stadium Paroi.

Peminat bola sepak yang tidak berpeluang berkunjung ke stadium boleh mengikuti siaran langsung perlawanan berkenaan melalui Astro (Terengganu vs Selangor) dan TV1 (T-Team vs Negeri Sembilan).