Halaman

14 October 2011

T-Team tidak mahu dabik dada

Oleh: Suriati Ali

T-TEAM tidak menganggap mudah pertemuan suku akhir kedua kempen Piala Malaysia 2011 menentang Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Jurulatih, Yunus Alif berkata, kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah dalam perlawanan pertama Isnin lalu tidak boleh dijadikan ukuran.

"Kita masih ada 90 minit lagi untuk diharungi dan macam-macam boleh berlaku, tambahan pula Sabah sekarang berada pada prestasi terbaik dan boleh mengancam T-Team," katanya.

Yunus berkata, T-Team tidak mempunyai strategi tertentu untuk menghadapi Sabah kecuali meningkatkan semangat berpasukan.

Strategi tersebut ternyata berkesan pada aksi suku akhir pertama di gelanggang lawan Isnin lalu," katanya.

Beliau berkata, T-Team belum mahu mendabik dada malah akan tetap menghormati Sabah.
Menurutnya, T-Team ingin merealisasikan impian penyokong mereka untuk melihat pasukan itu terus berjaya dan seterusnya menjulang piala yang berprestij itu musim ini.

Pada pertemuan ini, bekas pemain kebangsaan, Tengku Hasbullah Tengku Hassan yang mengalami kecederaan di pangkal paha semasa pertemuan pertama Insin lalu mungkin akan direhatkan pada aksi kedua ini.

Begitupun, Yunus berkata, beliau tidak bimbang kerana T-Team mempunyai ramai pemain yang boleh mengisi tempat Tengku Hasbullah.

Sementara itu, Setiausaha Kerja T-Team, Zaini Abu Bakar berkata, pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan tidak akan menaikan harga tiket untuk perlawanan tersebut.
Beliau berkata, ia bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai penyokong T-Team menyaksikan perlawanan tersebut.