Halaman

24 October 2011

Sekolah disaran wujud tanaman herba

Oleh; Esah Abdullah


Pihak pengurusan sekolah di negeri ini disaran supaya mewujudkan taman yang ditanam dengan tumbuh-tumbuhan herba yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat, khususnya warga sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata generasi baru perlu dilatih mengenali dan membiasakan diri mereka mengamalkan makanan tradisional yang diyakini berkhasiat dan bermutu tinggi.

“Program yang dilancar hari ini merupakan projek perintis bagi sekolah-sekolah di negara ini dan akan dikembangkan ke sekolah lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Penggalakan Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Taman Mini Tanaman Makanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Seberang Takir hari ini.

Hadir sama, Dekan Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan UMT, Prof Dr. Sayed Mohamed Zain Sayed Hasan dan Pengetua SMK Ibrahim Fikri, Encik Roslan Awang.

YB Haji Ahmad Razif berkata, selain memperkenalkan tanaman herba kepada masyarakat, program itu juga bertindak melatih mereka mengamalkan pemakanan yang baik untuk kesihatan terutama dalam menggunakan tumbuh-tumbuhan herba.


“Usaha UMT memperkenalkan tanaman ini ke sekolah-sekolah selaras dengan konsep Anjung Ilmu yang dibawa kerajaan dan melalui program ini banyak makumat dan kajian boleh dijalankan mengenai tumbuhan herba yang tumbuh di bumi Terengganu,” katanya.

Menurutnya, terdapat 66 jenis pokok herba di tanam di Taman Mini SMK Ibrahim Fikri dan boleh dimanfaat oleh semua pihak termasuk sekolah serta pelajar dan juga ibu bapa.