Halaman

04 October 2011

Rakyat usah tertipu dengan janji manis pembangkang

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Penduduk negeri ini diingatkan supaya tidak terpedaya dengan janji-janji manis pemimpin parti pembangkang yang mahu mengambil alih pemerintahan negara ini daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat, berkata apa yang pasti pemimpin parti pembangkang begitu terdesak untuk memerintah negara ini dan mereka terpaksa menabur janji-janji manis untuk memancing undi.

“Jika mereka janji untuk meneruskan apa yang sudah dilakukan Kerajaan BN, tidak ada apa-apa yang istimewa yang boleh menambat hati rakyat.

“ini kerana Kerajaan BN telah melakukan yang terbaik untuk rakyat, termasuk menyediakan pelbagai keperluan di bidang agama, pelajaran dan ekonomi,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan geran tanah kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Batu Rakit dan e-Book kepada Murid Tahun 4 di DUN berkenaan di Dewan Sivik Maras, semalam.

Justeru, kata YB Kazan, pemimpin pembangkang terpaksa membuat janji-janji yang tidak munasabah untuk memenangi hati rakyat walaupun mereka tahu ia tidak dapat ditunaikan jika sekiranya mereka memerintah negara ini.

“Saya tahu rakyat kita boleh menilai sendiri keupayaan pihak pembangkang kerana mereka pernah memerintah negeri ini, tetapi tidak mampu mentadbir seperti Kerajaan BN,” katanya.

Mengenai tindakan pembangkang mengecam Kerajaan BN yang kononnya bertanggungjawab atas kenaikan harga barang-barang, YB Kazan berkata rakyat perlu rasional berhubung isu tersebut.

“Memang kita tidak menafikan harga barang sekarang ini lebih mahal berbanding masa lalu, tetapi jika diteliti rakyat masih mampu membeli pelbagai barangan keperluan walaupun harganya naik.

“Ini kerana walaupun harga barang naik, tetapi pendapatan mereka juga meningkat kerana usaha kerajaan menaikkan taraf hidup dan pendapatan rakyat,” katanya.