Halaman

28 October 2011

Puteri Hulu Terengganu dekati rakyat


Oleh: Mastura Jamaluddin

Melalui pendekatan kesihatan dan kebajikan untuk masyarakat, Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu mengambil inisiatif untuk menganjurkan Klinik Kesihatan Bergerak dan Klinik Pergigian Bergerak sempena Karnival Sukan Rakyat DUN Telemong, di Kampung Matang, baru-baru ini.

Menurut Ketua Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Puan Zurina binti Abdul Rahman, projek itu merupakan sebuah program yang dilaksanakan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di peringkat bahagian seluruh negara melalui sukarelawan yang terdiri daripada ahli Pergerakan Puteri UMNO yang akan pergi ke Pusat Daerah Mengundi di bahagian masing-masing.

Beliau berkata, melalui program itu perkhidmatan kesihatan secara percuma akan diberi oleh pegawai-pegawai yang bertauliah dan mereka akan dibantu sukarelawan Puteri UMNO kepada masyarakat terutama di luar bandar.

Mereka menggunakan kenderaan yang bergerak yang akan membawa peralatan asas untuk pemeriksaan.

Program yang berlangsung di Kampung Matang berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kanak-kanak begitu teruja untuk mendapat khidmat pemeriksaan pergigian percuma dengan ditemani oleh ibu bapa mereka.

Begitu juga dengan pemeriksaan kesihatan turut mendapat sambutan yang hangat daripada penduduk yang hadir ke program tersebut.