Halaman

26 October 2011

Pemimpin Umno Marang aktif masuk kampung



Oleh : Amirullah Othman

Setiap hari rutin harian yang dilakukan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda ialah menziarahi mereka yang menghidap penyakit kronik, warga emas dan keluarga yang kematian waris.

Pemimpin yang tidak mengenal erti lelah itu sentiasa murah dengan senyuman apabila bertemu dengan masyarakat di kawasan itu sangat senang didekati dan selalu bertemu dengan rakyat untuk mendengar segala permasalahan mereka.

Baru-baru ini beliau menyampaikan dua buah kerusi roda kepada pesakit lumpuh dari Taman Permint Permai, seorang daripadanya Mat Sani Abdullah, 49, yang menghidap penyakit saraf, jantung, kencing manis dan lumpuh.

Mat Sani lumpuh sejak 10 tahun lalu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dan mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300.

Pesakit kedua ialah Ghazali @ Mohd Muda, 70, yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan juga lumpuh.

Ghazali yang menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 terpaksa menjalani pemeriksaan berkala di hospital dan memerlukan kos yang banyak.

Encik Zaidi ketika ditemui wartawan Teganukita kelmarin melahirkan keazaman beliau untuk membantu sedaya upaya bagi menyelesaikan segala permasalahan rakyat di kawasan DUN Bukit Payong.

Beliau berkata, pihaknya akan menghubungi agensi berkenaan bagi membantu menyelesaikan masalah berkaitan dengan agensi mereka agar rakyat mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan.