Halaman

02 October 2011

Pas sedar tidak mungkin jadi pemerintah di negara ini

Oleh; Esah Abdullah

Hukum hudud adalah permainan Pas sama juga dengan isu Islam, pemimpin mereka bangkitkan perkara ini semata-mata kerana untuk mencari sokongan orang Melayu.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Pas bukannya serius untuk laksanakan apa yang dijanjikan itu kerana sedar mereka tidak mungkin jadi pemerintah di negara ini.

“Rakyat di negara ini ada 60 peratus beragama Islam manakala 40 peratus lagi bukan Islam dan hukum hudud hanya dikenakan kepada orang Islam tentunya wujud ketidakadilan di situ,” katanya dalam sidang media selepas majlis Konvokesyen Ke-9 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Dewan Sultan Mizan semalam.

Katanya, pemimpin Pas memang sentiasa bercakap dan sebelum ini ingin menjadikan negara Islam kemudian tukar prinsip kepada negara kebajikan, semuanya untuk menjaga hati orang bukan Islam.

“Pas bukan perjuangkan Islam tetapi sekadar memancing undi di kampung-kampung sebaliknya parti UMNO lebih realistik kerana berpegang kepada hukum hudud sebab itu ada hukum bunuh di negara kita,” katanya.

Tun Dr. Mahathir yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke negeri ini atas jemputan penerima anugerah tertinggi pihak universiti iaitu Ijazah Kehormat Doktor Sains yang diperkenalkan sejak 2004.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah selaku Canselor UMT berkenan berangkat ke majlis pengurniaan berkenaan serta pengurniaan anugerah dan Ijazah Sarjana kepada 1,736 graduan UMT.