Halaman

02 October 2011

Kerajaan hantar 347 Imam bilal tunai haji percuma

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah menghantar 347 orang imam dan bilal bagi menunaikan fardu haji ke tanah suci Mekah dalam tempoh 10 tahun sehingga 2011.

Ketua Penolong Pesuruhjaya, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) (Pengurusan Masjid) Haji Mohd Noor Mohamad berkata, daripada jumlah itu 186 adalah imam manakala selebihnya bilal yang bertugas di masjid-masjid seluruh negeri.

“Skim penghantaran imam dan bilal untuk menunaikan rukun Islam kelima ini bermula 2000 dengan cara bayaran gantian tambang oleh kerajaan kepada mereka yang terpilih mengikuti program berkenaan,” katanya kepada Teganukita.

Walau bagaimanapun bermula 2001 hingga 2004 tiada penghantaran imam bilal ke Mekah oleh kerajaan yang memerintah ketika itu (Pas).

“Skim berkenaan berfungsi semula setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) kembali memerintah (2004) dan seramai 35 orang iaitu imam (14) dan bilal (21) dihantar ke Mekah pada tahun berikutnya (2005),” katanya.

Menurut Haji Mohd Noor, bermula 2008 hingga sekarang kerajaan telah perkenalkan skim baru Anugerah Kecemerlangan bagi melengkapkan imam dan bilal terpilih menyertai pakej berkenaan.

“Tahun ini 13 imam dan sembilan bilal akan berangkat ke tanah suci melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu di mana penerbangan pertama telah bermula Jumaat lalu (30 September),” katanya.