Halaman

19 October 2011

JPNT cadang asrama murid Orang Asli

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan mencadangkan kepada kerajaan negeri penubuhan sebuah asrama khusus untuk murid Orang Asli di Terengganu.

Pengarahnya, Razali Daud berkata, penubuhan asrama seumpama itu penting bagi membolehkan murid Orang Asli menikmati kemudahan pelajaran lebih selesa dalam usaha memperkasakan mutu pendidikan di kalangan komuniti itu.

Beliau memberitahu, pihaknya sedang dalam proses akhir bagi menyiapkan kertas kerja berhubung projek itu sebelum diserahkan kepada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dalam waktu terdekat ini.

Menurutnya, asrama tersebut akan ditempatkan di sebuah sekolah menengah yang berdekatan kawasan penempatan Orang Asli sama ada di Kemaman, Hulu Terengganu atau Hulu Besut.

"Kita akan pilih sekolah menengah yang sesuai untuk ditempatkan sebuah asrama khusus kepada pelajar atau murid Orang Asli.

"Buat masa ini, ada tiga buah sekolah yang menempatkan Orang Asli di Terengganu iaitu di Sungai Berua di Hulu Terengganu, Sungai Pergam (Kemaman) dan Kuala Sayap (Hulu Besut)," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas program Pengarah Pelajaran Terengganu Bersama Warga Orang Asli Negeri Terengganu di pekarangan JPNT baru-baru ini.

Seramai 450 penduduk serta pelajar Orang Asli dari Sungai Berua, Sungai Pergam dan Kuala Sayap menyertai program tersebut bagi memberi pendedahan kepada komuniti itu agar tidak terpinggir daripada arus pembangunan.