Halaman

06 October 2011

Hotel Permai pertaruh PHMRT dalam Kejohanan Malaysian Match Racing 2011

Oleh FAUZI MOHD

Hotel Permai mengorak selangkah lagi dalam usaha memajukan sukan kapal layar di negeri ini apabila menaja satu pasukan sempena Kejohanan Malaysian Match Racing (MMRC) 2011 di Pulau Duyong di sini mulai esok.

Pengurus Besarnya, Azman Ali berkata, pasukan Permai Hotel Match Racing Team (PHMRT) dianggotai lima anak muda yang mempunyai pengalaman dalam sukan kapal layar.

Beliau berkata, tujuan utama pihaknya turut serta dalam kejohanan itu ialah bagi menunaikan tanggungjawab terhadap komuniti setempat dalam memajukan sukan tersebut tanpa memikirkan soal menang atau kalah.

“Menang atau kalah adat pertandingan, tetapi kalau boleh memang kita nak menang.

“Apa pun, kita harap penajaan ini akan memberi perangsang dan dorongan kepada pasukan ini untuk terus maju dalam sukan pelayaran,” katanya.

PHMRT yang akan diketuai oleh bekas juara pada tahun 2009 iaitu Hazwan Hazim Dermawan itu turut disertai oleh Syed Ahmad Syahmi Syed Ahmad Helmi, Mohd. Hazarul, Mohd. Hafizi Rosli dan Nik Ashraf Qaedi Nik Azizan.

Penajaan termasuk penginapan, makan minum, pengangkutan pergi-balik dan urusan penyewaan bot.

Dalam pada itu, Hazwan gembira dengan penajaan yang diterima daripada hotel berkenaan.

“Penajaan ini akan memberi semangat kepada saya dan rakan-rakan untuk berusaha memberikan yang terbaik dalam kejohanan itu nanti.

“Saya berazam untuk kembali merampas kejuaraan yang terlepas dalam kejohanan yang sama tahun lepas pada kali ini,” katanya.

Tambah Hazwan, dia menjangkakan saingan utama akan hadir daripada juara MRRC 2008, Nurul Ain Md. Isa yang mewakili Ri-Yaz Heritage Match Racing Team.

MMRC merupakan acara kelayakan bagi Piala Monsun iaitu acara penutup siri jelajah dunia, World Match Racing Tour.