Halaman

24 October 2011

Guru al-Quran terima tunggakan

Oleh : Amirullah Othman



Seramai 94 orang guru Yayasan Islam Terengganu (YIT) yang mengajar al-Quran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, menerima tunggakan elaun masing-masing dalam satu majlis di Dewan Sivik Atas Tol, kelmarin.

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda dalam ucapannya mengingatkan guru-guru YIT supaya ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab mereka mendidik anak bangsa dengan ilmu agama.

“Kerajaan Barisan Nasional amat prihatin dengan segala kesusahan rakyat tanpa mengira bulu, ini terbukti apabila semua lapisan masyarakat merasai nikmat di bawah pemerintahan BN,” katanya.

Beliau berkata, selain daripada guru al-Quran, Kerajaan Negeri Terengganu turut menaikkan elaun imam bilal dengan peruntukan yang sangat besar pada setiap tahun.

“Dalam pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, baru-baru ini terbukti kehebatan kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang dapat merasai denyut nadi rakyat.

“Pelbagai subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesusahan rakyat seperti subsidi barangan minyak, beras, gula dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat negara ini sepatutnya bersyukur dengan nikmat yang melimpah ruah yang diberikan oleh kerajaan yang memerintah kerana telah menjaga kebajikan mereka.

“Ini berbeza dengan rakyat negara lain yang mengalami kesusahan seperti Somalia di Afrika yang mengalami masalah kebuluran,” katanya.

Bayaran elaun yang tertunggak merupakan kenaikan yang diumumkan Menteri Besar Terengganu iaitu kenaikan sekali ganda daripada RM150 sebulan kepada RM300 sebulan, mulai awal tahun ini.

Kesemua guru Yayasan Terengganu merasa sangat gembira dan masing-masing telah mendapat bayaran tunggakan dari bulan Januari sehingga sekarang.