Halaman

27 October 2011

Banjir : JPAM sedia kerah 2,000 anggota, 17 bot dan 6 pacuan empat roda

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dengan kira-kira 2,000 anggota terlatih kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.

Pengarah JPAM negeri, Leftenan Kolonel Kamal Mokhtar berkata, kesemua anggota sukarela itu bersedia dikerah pada bila-bila masa terutama bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

"Kita akan memberi tumpuan di daerah Hulu Terengganu, Besut dan Kemaman kerana tiga daerah ini pada kebiasaannya lebih dulu dilanda banjir sebelum diikuti daerah lain," katanya baru-baru ini.

Kamal berkata, buat masa ini, enam anggota jabatan berkenaan sudah ditempatkan di setiap daerah di negeri ini untuk menyelaraskan langkah-langkah perlu.

Menurutnya, jika keadaan mendesak, pihaknya akan meminta bantuan keanggotaan dari dua negeri berjiran iaitu Pahang dan Kelantan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Pada masa ini, kita ada seramai 26,000 anggota JPAM yang berdaftar di negeri ini manakala 2,000 lagi anggota cukup terlatih dan mampu dikerah pada bila-bila masa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah membuat persiapan dari segi logistik dengan menempatkan dua buah bot bagi menghadapi banjir di Kemaman dan Hulu Terengganu manakala tiga bot untuk Besut, Dungun dan Kuala Terengganu.

Jelasnya, JPAM Terengganu dilengkapi 17 buah bot pelbagai jenis di samping enam buah kenderaan pacuan empat roda bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

Selain itu, kata Kamal, 16 anggota penyelamat pantai JPAM yang sebelum ini ditempatkan di Pulau Redang dan Bukit Keluang, Besut turut dikerah untuk membantu kerja-kerja menyelamat di daratan, jika berlaku banjir yang teruk.