Halaman

29 October 2011

Anak Adun Jertih hafaz 30 juzuk al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Anak Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang juga Adun Jertih, Mohd Solahuddin muncul salah seorang daripada dua pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putera Ulul Albab yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Anak keempat Dato' Seri Idris Jusoh itu berjaya menghafaz dalam tempoh singkat memandangkan ketika belajar di Sekolah Menengah Imtiaz Besut dari tingkatan satu hingga tiga sebelum ini, dia telah menghafaz 24 juzuk al-Quran.

Menurutnya, walaupun pelajar tingkatan empat dan lima sekarang masih belum terikat dengan program MRSM Ulul Albab yang mewajibkan pelajarnya hafaz al-Quran, tetapi disebabkan minat mendalam dia mengambil masa antara solat Maghrib hingga Isyak untuk menghafaz al-Quran.



“Selain waktu itu, saya turut menghafaz al-Quran awal pagi sebelum dan selepas solat Subuh,” katanya yang turut cemerlang dalam akademik dengan mendapat kelas pertama.

Dia ditemui selepas Majlis Graduasi ke-13 MRSM Kota Putera Ulul Albab di Dewan Ulul Albab sekolah berkenaan yang disempurnakan Adun Kota Putera Muhammad Pehimi Yusof.

Seramai 338 pelajar tingkatan tiga dan lima terlibat dalam majlis graduasi itu.

Selain dua pelajar tingkatan lima, seramai 24 pelajar tingkatan tiga dan dua pelajar tingkatan dua sekolah berasrama penuh itu berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran.

Menurut Pengetua MRSM itu, Abdullah Abd Rahman, dua pelajar tingkatan dua berkenaan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran hanya dalam tempoh setahun tujuh bulan hasil kesungguhan mereka selain komitmen guru terbabit.

Katanya, jadual pembelajaran sekolah ini memang ketat iaitu pelajar tingkatan satu hingga tiga mula berlatih menghafaz al-Quran seawal jam 5.30 pagi.

“Aspek pemakanan turut diberi penekanan apabila antara menu wajib di sekolah ini ialah madu, susu segar dan buah kurma,” katanya.

Sementara itu pelajar keseluruhan terbaik yang menerima anugerah khas dalam majlis graduasi itu termasuk Nurfarahiyah Che A Halim, anak Pengetua MRSM Besut yang memperoleh Timbunan Purata Nilai Gred (TPNG) 3.99.

Majlis graduasi kelmarin turut mencatat sejarah tersendiri kerana enam daripadanya merupakan anak pengetua MRSM menerima sijil masing-masing termasuk Nuffarahiyah Che A Halim.

Lima yang lain ialah masing-masing seorang anak pengetua MRSM Kota Putera sendiri, MRSM Kuala Krai, Kuala Berang, Pengkalan Hulu dan MRSM Grik serta seorang anak Pengarah Mara Kelantan.

Dua anak Muhammad Pehimi iaitu seorang tingkatan tiga dan lima turut menerima sijil masing-masing.