Halaman

17 October 2011

Ambil resepi Terengganu untuk tawan Selangor

Oleh; Esah Abdullah

“Kami ingin mengambil resepi dari Terengganu sebagai panduan untuk merampas kembali negeri Selangor yang berada di tangan Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang,”.



Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, Selangor, Puan Radziah Ahmad berkata demikian ketika ditemui di Pejabat UMNO Perhubungan Terengganu semalam.

Katanya, sebagai sayap kanan Barisan Nasional (BN), jentera Wanita berusaha keras dan membuat persiapan rapi untuk menghadapi ujian getir dalam PRU-13 nanti.

Kunjungan tiga hari dua malam ke negeri ini bersama 40 orang ahli dalam Program Kembara Ilmu (PKI) turut diraikan dalam majlis makan malam bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu.

Beberapa tempat menarik turut dilawati termasuk Taman Tamadun Islam, di Pulau Wan Man, Yayasan Nur Zahirah dan Pusat Kraf Tangan di Chendering serta Pasar Payang, Kuala Terengganu.



“Sepanjang berada di sini, kami berpeluang bertemu dengan jawatankuasa wanita di Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Terengganu bertukar idea serta meminta resepi jentera wanita negeri memenangi hati rakyat,” katanya