Halaman

19 October 2011

Akta Kualiti Alam Sekeliling bakal mantapkan pengurusan EIA



Oleh FAUZI MOHD

AKTA Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dipinda bagi membolehkan Juruperunding Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sahaja dibenarkan menjalankan kajian dan menyediakan laporan EIA.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri Douglas Uggah Embas berkata, ia merupakan syor ke atas Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2011 untuk kelulusan Jemaah Menteri bagi memastikan laporan EIA yang disediakan berkualiti.

Menerusi perubahan itu kelak, laporan EIA dijalankan oleh individu yang berkelayakan dan bertanggungjawab di atas kajian dan syor-syor yang dikemukakan di dalam laporannya.




“Laporan yang dikemukakan kepada JAS sebelum ini kebanyakkannya tidak berkualiti dan kerap kali disediakan oleh jururunding EIA yang kurang kepakaran dan pengalaman.

“Dalam pindaan seksyen yang sama, cadangan projek hendaklah selaras dengan Rancangan Fizikal Negara, Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan yang telah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perlancaran Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) peringkat kebangsaan 2011 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu semalam.



Turut hadir dalam majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Zoal Azha Yusof dan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Dato’ Rosnani Ibrahim.

Tambah beliau, pindaan itu juga bakal memperkukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap masalah pencemaran di negara ini dengan mengenakan penalti jauh lebih berat kepada pesalah baik individu atau syarikat.

Di bawah cadangan pindaan itu, penalti terhadap pelanggaran Seksyen 2 akta tersebut akan dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM500,000.

Antara kesalahan di bawah seksyen tersebut ialah pelupusan sisa toksik, pencemaran air dan sungai, pembakaran terbuka, pengeluaran asap berlebihan, tumpahan minyak di laut dan pembukaan tanah secara haram.



“Pindaan itu akan dibentang ke Kabinet minggu depan sebelum dibawa ke Parlimen pada Mac 2012.

“Ia akan memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk memberhentikan projek yang melanggar peraturan EIA,” ujarnya.