Halaman

12 October 2011

7 kategori Anugerah Belia Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

PENYAMPAIAN Anugerah Belia Terengganu yang sempena sambutan Hari Belia dijadualkan berlangsung November ini.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Abdul Aziz Abd. Rahman berkata, anugerah itu bagi menghargai jasa individu dan pertubuhan terhadap pembangunan belia di negeri ini.

"Sebanyak RM27,000 disediakan untuk penerima anugerah bagi tujuh kategori yang dinilai termasuk Tokoh Belia Lelaki dan Wanita serta Tokoh Kepimpinan Lelaki dan Wanita," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, kategori lain yang dipertandingkan ialah Kesukarelaan Terbaik, Usahawan Belia Terbaik, Persatuan Belia Terbaik, Daya Juang dan Wira Tani.

Katanya, pemenang setiap kategori masing-masing akan menerima wang tunai RM3,000, cenderamata dan sijil penghargaan kecuali Persatuan Belia Terbaik akan menerima tambahan RM500 untuk pengurusan pentadbiran.

Mengenai perkembangan persatuan belia di negeri ini, Abdul Aziz berkata, pihaknya menyasarkan penubuhan kira-kira 1,000 pertubuhan seluruh negeri menjelang akhir tahun ini.

Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pertubuhan belia di setiap peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Menurut beliau, pada masa ini sebanyak 540 pertubuhan belia didaftarkan di negeri ini dengan kira-kira 35,000 keahlian.

Katanya, JBS sentiasa bekerjasama dengan Majlis Belia negeri dan daerah untuk memastikan matlamat tersebut tercapai.

"Dengan wujudnya pertubuhan belia di peringkat kampung, ia memberi peluang kepada golongan itu melakukan pelbagai aktiviti yang secara tidak langsung dapat membendung gejala kurang sihat," ujarnya

Menurut beliau, di peringkat penajaan, sekurang-kurangnya 15 orang yang dilantik sebagai jawatankuasa dan penubuhan biro boleh dibentuk bagi membolehkan mereka mendaftar sebagai sebuah pertubuhan belia