Halaman

21 October 2011

4 lokasi di Terengganu lihat anak bulan Zulhijah

Oleh FAUZI MOHD

Petang 27 Oktober bersamaan 29 Zulkaedah ditetapkan bagi melihat anak bulan Zulhijah bagi menentukan tarikh Hari Raya Aidiladha.

Menurut laporan Bernama hari ini, perkara itu dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Katanya, Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidiladha atau Hari Raya Qurban adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Sebanyak 30 lokasi ditetapkan bagi melihat anak bulan termasuk empat di Terengganu iaitu Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Kemuning, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap UniSZA di Setiu.

Pada malam itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Dato’ Syed Danial Syed Ahmad akan mengisytiharkan tarikh Hari Raya Qurban menerusi radio dan televisyen.