Halaman

27 September 2011

Tuah jadi anak Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

“Saya rasa bertuah dilahirkan di negeri ini yang banyak menyediakan kemudahan pembelajaran termasuk pemberian insentif berupa wang sebagai galakan belajar kepada kami,” kata Kwan Lee Wam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut.



Kwan Lee Wam ditemui ketika menerima bantuan pendidikan pelajar yang bakal menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) penghujung tahun ini yang disampaikan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Wisma Darul Iman petang semalam.

“Saya terharu kerana kerajaan sangat ambil berat mengenai kebajikan kami para pelajar dengan menyediakan banyak kemudahan dan bantuan supaya kami dapat belajar dengan selesa,” kata Wan Shiou Hwei pelajar Tingkatan Enam Atas SMK Sultan Sulaiman yang tinggal di Kampung China, Kuala Terengganu.



Ahmad Musa Ahmad Razali pelajar SMK Sultan Sulaiman turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sangat perihatin, menyediakan pelbagai bantuan dan galakan bagi memastikan kejayaan kami.

“Ramai kawan saya di negeri lain mencemburui kami yang mendapat perhatian istimewa kerajaan negeri dari pelbagai sudut dan saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk memenuhi impian negeri serta harapan kedua orang tua,” katanya.



Prem Nathan a/l Loganathan pelajar SMK Tengku Bariah Pasir Panjang juga berazam untuk mendapat keputusan cemerlang dalam STPM nanti.

“Saya akan buat yang terbaik untuk memenuhi harapan kerajaan dan keluarga yang ingin melihat kami muncul sebagai bangsa yang bermaruah suatu hari nanti,” katanya yang tinggal di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, kerajaan membelanjakan puluhan juta setahun untuk pembangunan pendidikan sama ada dalam bentuk bantuan, galakan serta menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran.

“Kita akan beri sama rata tanpa mengira status dan fahaman politik keluarga pelajar demi untuk masa depan aset penting negara yang akan menjadi pewaris kepada kepimpinan akan datang,” kata Dato’ Seri Haji Ahmad.

Kerajaan telah membelanjakan RM8.48 juta membabitkan 8,486 pelajar Tingkatan Enam Atas sejak Program Bantuan Pendidikan ini diperkenalkan pada 2008.



Sehubungan itu dalam majlis petang semalam seramai 2,156 pelajar STPM 2011 dari 51 SMK seluruh negeri menerima RM1,000 seorang membabitkan kos RM2,156,000.