Halaman

29 September 2011

Solat hajat pohon kelancaran Operasi Haji 2011

Majlis solat hajat dan bacaan Yaasin diadakan di surau Lapangan Terbang Sultan Mahmud, (LTSM) malam tadi bagi memohon kelancaran Operasi Haji 2011 yang melibatkan tujuh penerbangan terus ke Tanah Suci melalui LTSM.

Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz, mengetuai majlis berkenaan yang turut dihadiri kira-kira 50 orang terdiri daripada petugas Lembaga Tabung Haji Terengganu dan wakil kerajaan negeri.

Pada tahun ini, kira-kira 3,100 jemaah terutama dari Terengganu, Kelantan dan Pahang akan terbang melalui LTSM di mana setiap penerbangan akan membawa 447 jemaah menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dengan penerbangan terus ke Madinah dan Jeddah.

Penerbangan pertama dari Kuala Terengganu KT4 dijangka berlepas pada 30 September (Jumaat) kira-kira jam 11.35 pagi terus ke Madinah.

Seramai 300 kakitangan daripada 18 agensi kerajaan termasuk polis, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam, MAB, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Penerbangan Malaysia, Kastam dan Imigresen bagi membantu operasi penerbangan haji di LTSM.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kerajaan negeri akan menyediakan kira-kira 3,000 makanan percuma kepada jemaah dan keluarga yang mengiringi mereka setiap kali penerbangan di LTSM.