Halaman

12 September 2011

PMINT rancang bina 13,000 unit rumah untuk rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) merancang untuk membina 13,000 unit rumah pelbagai kategori bernilai RM800 juta, menjelang tahun 2013.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda, berkata sejak pihaknya dilantik menyelia projek perumahan kos rendah dan rumah mampu milik di negeri ini pada 2009, sebanyak 17 projek rumah sudah diselaras di seluruh negeri.



Beliau berkata, sehingga Disember tahun lalu, rumah yang dibina di seluruh negeri merangkumi rumah mampu milik dan perumahan rumah awam kos rendah (RAKR) melibatkan 5,473 unit dengan kos keseluruhan RM458,420,309.

"Kita cuma dapat menyiapkan 133 unit RAKR untuk daerah Setiu saja sehingga ini manakala bagi daerah lain akan disiapkan akhir tahun ini atau awal tahun hadapan," katanya pada sidang media pada majlis sambutan Hari Raya Aidifitri PMINT di Taman Tamadun Islam, hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut hadir pada majlis tersebut.

Dato’ Osman berkata, pada masa ini 1,846 unit rumah sedang dibina di daerah Kuala Terengganu, Kemaman (1,471 unit), Besut (144 unit), Setiu (133 unit ), Marang (383 unit), Dungun (890 unit) dan Hulu Terengganu (626 unit).

“Sebanyak 16 projek perumahan lagi melibatkan 1,800 unit rumah sedang dalam perancangan di seluruh negeri,” tambahnya.

Menurut beliau, rumah-rumah yang dibina itu mempunyai keluasan melebihi 800 kaki persegi bagi keselesaan penghuni mendiaminya.