Halaman

05 September 2011

Piala Monsun 2010 : RM13.1 juta perbelanjaan setempat, 1,729 pekerjaan, 1.7 bilion penonton

Oleh FAUZI MOHD

Piala Monsun, acara kejohanan perahu layar antarabangsa di Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang bermula sejak 2005, ternyata memainkan peranan penting dalam menjana pembangunan ekonomi Terengganu terutamanya penduduk setempat.

Pengerusi Tbest Events Sdn. Bhd. (Tbest), Tan Sri Sabaruddin Chik berkata, selain mengurangkan pergantungan kepada sumber ekonomi tradisional, ia juga mengubah lanskap khususnya di Pulau Duyong yang terletaknya di muara Sungai Terengganu.



"Penganjuran ini bukanlah satu pembaziran kerana ia mampu menarik kedatangan pelancong ke Terengganu yang mana keindahan dan kebudayaannya turut ditatapi oleh jutaan penduduk dunia, " kata beliau.

Piala Monsun pada tahun ini diadakan dari 22 hingga 27 November dengan pelbagai aktiviti sampingan berkaitan kapal layar selain perlumbaan utama yang disertai oleh pasukan kapal layar terbaik dunia.

Jelas Sabaruddin, Piala Monsun sebenarnya merupakan ilham bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berpendapat keadaan monsun yang biasa berlaku di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia pada penghujung tahun, tidak seharusnya menjadi penghalang kepada sebarang bentuk aktiviti ekonomi.

"Beliau mencadangkan pertandingan ini diadakan untuk merancakkan pembangunan di kawasan perkampungan nelayan seperti mana kita dapat perhatikan pada masa ini," ujarnya.

Katanya, berdasarkan perangkaan penganjuran pada tahun lalu, kedatangan pelancong ke Terengganu ketika berlangsungnya Piala Monsun 2010 berjaya menggalakkan perbelanjaan setempat berjumlah RM13.1 juta.



"Pada sepanjang enam hari berlangsungnya pertandingan itu, jumlah kedatangan penonton yang direkodkan seramai 170,772 orang dan pertandingan itu disiarkan menerusi televisyen ke seluruh dunia melibatkan penonton seramai 1.7 bilion orang.

"Selain itu, sebanyak 1,729 pekerjaan berjaya diwujudkan ketika berlangsungnya Piala Monsun 2010 daripada perkhidmatan sokongan kepada setiap pasukan hinggalah penyediaan makanan," jelasnya.

Sabaruddin berkata demikian bagi menolak dakwaan bahawa penganjuran Piala Monsun merupakan satu pembaziran dan menurut bekas Menteri Pelancongan itu lagi, pihaknya akan terus menganjur acara tersebut sehingga tahun depan.

Piala Monsun 2011 merupakan salah satu daripada lapan lokasi bagi Jelajah Perlumbaan Perahu Layar Dunia (WMRT) 2011 dan merupakan lokasinya yang terakhir bagi tahun ini.



Sebelum itu, perlumbaan telah diadakan di Perancis, Jerman, Korea Selatan, Portugal, Sweden, Switzerland dan Bermuda sebelum ke Malaysia.

Sabaruddin menjelaskan, pembangunan yang dilakukan menyebabkan mereka yang terlibat dipindahkan ke lokasi kediaman baharu berupa apartmen mewah lengkap dengan keperluan asas.

Katanya, kesan penganjuran itu turut merangsang pertumbuhan ekonomi perusahaan industri kecil dan sederhana.



"Sejak 2008, kerajaan melalui Kementeria Belia dan Sukan memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada syarikat bagi mengendalikan pertandingan ini dan pelbagai aktiviti lagi berkaitan belia," katanya.

Katanya, setiap kali penganjuran, Tbest tidak pernah melupakan penglibatan masyarakat tempatan termasuk kepada golongan muda.