Halaman

20 September 2011

Pejabat Meteorologi Gong Kedak bekal khidmat ramalan cuaca

oleh: Mohammad Ishak


Dr Maximus melihat skrim yang memaparkan keadaan cuaca semasa

Pembinaan Pejabat Meteorologi di kawasan pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, dekat Jertih, satu lagi usaha kerajaan untuk menyampaikan maklumat tepat mengenai ramalan cuaca bukan sahaja kepada penduduk Terengganu malah seluruh negeri di Pantai Timur.

Pejabat berharga RM4.7 juta yang dibina di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke 9 oleh Kementerian Sains,Teknologi dan Inonovasi dirasmikan oleh Menteri berkenaan,Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili hari ini.

Dengan adanya pejabat berkenaan ia memudahkan agensi keselamatan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan cuaca di seluruh Negara.

Selain itu, ia juga turut memberi khidmat nasihat ramalan cuaca kepada Bilik Gerakan Operasi Negeri Kelantan dan Terengganu terutama ketika musim monsun timur laut dan menyalurkan amaran awal berkenaan aktiviti seismik kepada pihak berkuasa.

Dr Maximus ketika merasmikan pejabat baru berkenaan berkata Terengganu juga kini mempunyai Sistem Pemantauan Gempa Bumi dan Tsunami apabila kementerian terbabit memasang alat pngesan di Kuala Terengganu dan Pulau Perhentian.

Katanya, usaha menyediakan pelbagai kemudahan bagi mengesan bencana alam itu akan ditingkatkan lagi apabila sebuah lagi pejabat akan dibina di Hulu Terengganu dalam peruntukan Rancangan Malaysia Ke 10.

Menurutnya, keadaan cuaca yang tidak menentu di Pantai Timur memerlukan stesyen dan pejabat Meteorologi yang canggih dan moden untuk mengesan sebarang bentuk bencana alam yang bakal berlaku di kawasan ini.

Berikutan pembukaan pejabat terbabit, orang ramai termasuk pelajar dan pemimpin masyarakat boleh memohon untuk melakukan lawatan sambil belajar ke pejabat berkenaan bagi mendapatkan maklumat berhubung keadaan cuaca semasa selain melihat sendiri tugas yang dilakukan oleh kakitangan pejabat itu.