Halaman

13 September 2011

MB minta contohi kaum Cina berniaga

Oleh: Suriati Ali

Rakyat di negeri ini terutama mereka yang berbangsa Melayu dan India sewajarnya mencontohi kaedah masyarakat Cina berniaga dan berdagang sehingga mampu membuka pelbagai empayar perniagaan di serata tempat.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, golongan itu mempunyai displin dan komitmen tinggi dalam bidang itu dan tidak mudah lemah dengan halangan dan cabaran antara persaing.


“Sikap seperti ini sewajarnya dicontohi bangsa lain terutama kaum Melayu dan India supaya turut berjaya dan bukannya memiliki sifat hasad dengki dan `busuk hati’,” katanya ketika berucap di Majlis Persamian Karnival Tanglong 2011, di Kampung Cina (Jalan Bandar), Kuala Terengganu malam tadi (13 September).

Lebih 5,000 pengunjung pelbagai kaum hadir memeriahkan karnival itu yang turut diadakan pelbagai aktiviti sampingan lain seperti pameran kesenian Cina, perkhidmatan mengambil gambar dan upara melepaskan Tanglung Kong Ming.



Dato’ Haji Ahmad Said berkata dia cukup bangga kerana negara kita khususnya Terengganu mampu mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan antara pelbagai kaum walaupun kadang-kala kita diserang dengan pelbagai anasir kurang sihat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.