Halaman

18 September 2011

Anggota Askar Wataniah gotong royong bina surau Sekolah Kebangsaan Seberang Jertih

Oleh: Mohammad Ishak


Askar Wataniah bantu bina surau Sekolah Kebangsaan Seberang Jertih.

Impian warga Sekolah Kebangsaan Seberang Jertih (SKSJ) untuk mendapat sebuah surau sebagai tempat menjalankan akitviti agama dan ibadah menjadi kenyataan apabila sebuah surau dibina secara gotong royong di sekolah berkenaan

Dengan usaha yang dilakukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu bersama anggota Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Seri Tembila, mereka menjalankan kerja gotong royong bagi membina sebuah surau untuk kegunaan pelajar dan guru.

Pengerusi PIBG sekolah itu, Abd Rani Mat Amin berkata, pembinaan surau berkenaan amat diperlukan kerana sekolah terbabit belum mempunyai tempat ibadah khusus.

Surau yang ada sekarang yang menggunakan bilik darjah dan ia tidak sesuai kerana keadaan terlalu sempit dan tidak mampu menampung jumlah peserta.

Menurutnya, projek gotong royong yang disertai 100 anggota Askar Wataniah diharap dapat membantu usaha PIBG menyiapkan surat berkenaan dalam tempoh segera bagi memudahkan pelajar dan guru menggunakan kemudahan itu.

Menurutnya, semua peralatan termasuk atap,kayu,simen dan bahan binaan lain disumbangkan orang ramai serta individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh.

"Penduduk setempat termasuk pelbagai komuniti yang ada di kampung berkenaan memberi sokongan dan kerjasama penuh bagi menjayakan pembinaan surau itu,” katanya.

Abd Rani berkata, kerja pembinaan surat itu diangka mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan dan berharap ia dapat digunakan sebelum akhir tahun ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang bagi menjayakan pembinaan surau itu kerana ia satu usaha murni yang dilakukan oleh PIBG bagi mempastikan pelajar dapat meningkatkan lagi aktiviti agama di tempat yang lebih selesa.