Halaman

19 September 2011

Ahli Umno gotong royong sedia juadah jamuan TPM, rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Hazwan Roslee

Ahli-ahli Umno di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura akan bergotong royong menyediakan juadah hidangan tengahari sempena Jamuan Rakyat Aidilfitri bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Padang Dewan Merdeka, Dungun, esok.

Dianggarkan antara 15,000 hingga 20,000 orang akan menghadiri majlis tersebut bagi meraikan kehadiran pemimpin nombor dua negara dan Umno, ke daerah Dungun.

Mereka yang hadir pada majlis tersebut akan berpeluang beramah mesra dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Timbalan Perdana Menteri sempena lawatan kerja ke Terengganu.

Setiausaha Umno Bahagian Dungun, Encik Roslee Daud, berkata urusan menyediakan juadah bagi menjayakan majlis berkenaan diserahkan kepada Penyelaras Umno bahagian Dungun.

“Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN Sura dan ahli-ahli Umno akan berganding bahu memasak mulai malam ini bagi menyediakan nasi dan lauk pauk untuk hidangan tengahari bagi jamuan tersebut,” katanya kepada Teganukita hari ini..

Sebelum itu, sempena Program Turun Padang (PTP), Timbalan Perdana Menteri akan hadir pada Majlis Mesra TPM bersama Pemimpin Masyarakat Setempat dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Paka, Dungun.

Selepas program Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Aidilfitri di Padang Merdeka, Tan Sri Muhyiddin dijadualkan merasmikan Pasar Baru Kedai Buloh, yang akan dihadiri 10,000 orang.

Beliau kemudiannya akan hadir pada Program Khas TPM Bersama Imam, Bilal dan Guru-guru Agama Sekolah Menengah dan Rendah di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu pada jam 5.30 petang.

Timbalan Perdana Menteri dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang TUDM Subang, kira-kira jam 7.00 petang esok.