Halaman

25 September 2011

Aduan pengguna air Terengganu selesai satu hari

Rencana oleh: Kamarudin Mat Akib



Berita baik untuk pengguna air di Terengganu – kira-kira 95 peratus daripada pelbagai aduan berhubung bekalan air di seluruh negeri ini dapat diselesai selewat-lewatnya dalam tempoh tiga hari sahaja.

Malah, sesetengah daripada masalah tersebut ditangani segera dalam tempoh satu hari selepas aduan dibuat melalui Talian Aduan SATU yang diperkenalkan sejak 29 November 2010.

Mengikut perangkaan SATU, sejak talian itu dimulakan bagi tempoh percubaan bermula 29 November tahun lalu hingga bulan Ogos tahun ini, sebanyak 22,157 aduan mengenai bekalan air dikemukakan kepada pihak Syarikat Air Terengganu (SATU).

Daripada jumlah itu, 62 peratus aduan berkaitan paip bocor, gangguan bekalan air (10.3 peratus) dan akaun bil air (9.55 peratus).

Selepas aduan dikemukakan pengguna, pihak SATU berjaya menyelesaikan kira-kira 95 peratus daripada aduan tersebut dalam tempoh tiga hari saja.

Tempoh penyelesaian masalah pengguna air di Terengganu dalam masa yang singkat itu dapat dilakukan melalui pusat khidmat komunikasi pelanggan yang sistematik dan tersusun, yang diperkenalkan oleh SATU dengan kerjasama Syarikat VADS Berhad.

VADS Berhad adalah anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia yang mempunyai kepakaran, khususnya dalam memberikan perkhidmatan “Business Process Outsourcing - Contact Center” ataupun Pusat Khidmat Komunikasi Pelanggan.

Secara umumnya, perkhidmatan yang ditawarkan pihak VADS Berhad ini diguna pakai oleh kementerian dan agensi kerajaan, organisasi dan juga syarikat syarikat swasta yang mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan mereka.

Majlis menandatangani perjanjian bagi perkhidmatan Talian Aduan SATU antara SATU dan Syarikat VADS Bhd disempurnakan dalam satu majlis di Riyaz Heritage, Khamis lalu.

SATU diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Husain Embong manakala Syarikat VADS Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Ghazali Omar.

Majlis pelancaran perkhidmatan tersebut dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang juga menjadi saksi kepada majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak berkenaan.

Dalam ucapannya, Menteri Besar turut mengingatkan pihak pengurusan Syarikat VADS Bhd tidak memikirkan soal keuntungan semata-mata, tetapi juga menunaikan tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat negeri ini.

Beliau berkata, pihak kerajaan negeri melalui SATU mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar bagi membayar perkhidmatan Syarikat VADS Bhd, bagi memastikan pengguna tidak menghadapi banyak masalah berkaitan penggunaan air.