Halaman

28 September 2011

80 guru Terengganu ke Korea Selatan, Australia

Oleh FAUZI MOHD.

Kerajaan negeri menghantar 80 orang guru sekolah rendah dan menengah ke luar negara selama seminggu bagi mendalami ilmu berkaitan pengurusan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, seramai 50 guru ke Korea Selatan bermula semalam dan selebihnya ke Australia pada hujung Oktober ini.

Menurutnya, lawatan ke Korea Selatan diketuai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Zawawi Ismail bagi mendedahkan warga pendidik berkaitan pentadbiran sekolah cemerlang di negara berkenaan.

“Rombongan yang terdiri daripada pengetua, guru besar dan guru cemerlang itu akan melawat dua buah sekolah berprestasi tinggi serta meninjau pembangunan kelas maya di negara berkenaan.

“Mereka turut berpeluang mendapatkan maklumat terperinci berkaitan aplikasi kelas maya apabila dibawa melawat ke beberapa buah syarikat berkaitan industri itu di Sejong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil dan diploma pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), dekat sini semalam. Turut hadir, Pengarah PSMZA, Zolkarnain Jobshi.

Tambah Ahmad Razif, sempena lawatan ke Korea Selatan itu, kerajaan negeri turut menjalinkan beberapa bentuk kerjasama dengan syarikat berkaitan teknologi maklumat bagi membangunkan kelas maya di sekolah-sekolah Terengganu.

“Kerjasama itu turut melibatkan pembangunan pendidikan kelas maya untuk pendidikan pra-sekolah seperti pengenalan silibus baru serta penambahbaikan dalam aplikasi ‘TV-Kids’ kepada kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Lawatan ke Australia akan diketuai Ahmad Razif sendiri dengan melawat beberapa buah sekolah berprestasi tinggi dan ia merupakan insentif kerajaan negeri kepada warga pendidik di negeri ini yang sentiasa berkerja keras untuk meningkatkan prestasi pembelajaran murid.

“Program penghantaran guru ke negara itu merupakan usaha penambahbaikan kerajaan negeri dalam menjayakan program 'Terengganu Anjung Ilmu',” ujarnya.