Halaman

26 September 2011

108 anak yatim di Asrama Perkya Besut diraikan Pejabat Pengguna

Oleh: Mohammad Ishak

YB Ramlan (dua dari kiri) menyampaikan duit raya kepada anak yatim di di Asrama Perkaya Besut

Penghuni anak yatim yang tinggal di Asrama Perkaya Besut, Kampung Kerandang dekat Jertih, diraikan dalam satu majlis sempena sambutan Aidilfitri yang diadakan di asrama berkenaan malam tadi.

Program Familliarisasi Kepenggunaan Bersama Anak Yatim itu dianjurkan oleh Pejabat Pengguna Dalam Negeri Cawangan Besut sebahagian tanggungjawab sosial jabatan berkenaan bersama komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi Ramlan Ali, merasmikan program berkenaan serta menyampaikan sumbangan duit raya kepada 108 anak yatim yang tinggal di asrama berkenaan.

Hadir sama ADUN Permaisuri, Abd Halim Yusof, Pengarah jabatan itu, Ghazali @ Suhaimi Muhammad dan pegawai-pegawai kanan negeri dan daerah jabatan terbabit.

Ghazali berkata, pihaknya amat prihatin dengan nasib yang menimpa anak-anak yantim berkenaan dan sebagai tanda penghargaan jabatan memilih asrama itu untuk program yang diadakan setiap tahun secara bergilir mengikut daerah.

“Menerusi program ini juga ia diharap dapat mengeratkan hubungan antara kakitangan jabatan itu dengan komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Ramlan berkata, pengurusan Asrama Perkaya masih memerlukan bantuan dan sumbangan daripada orang ramai bagi membiayai aktiviti dan perancangan pembangunannya.

Beliau berharap, individu, ahli koporat dan jabatan kerajaan tanpil memberi sokongan dan bantuan kepada pertubuhan itu supaya anak yatim terbabit dapat turut serta menikmati kehidupan yang sempurna sama seperti masyarakat lain yang berupaya.