Halaman

15 August 2011

T'Team optimis bawa pulang Piala Malaysia

Oleh FAUZI MOHD

Pasukan T’Team diharap dapat mempamer aksi terbaik dan seterusnya memperbaiki rentak permainan dalam menghadapi kempen Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 6 September ini.

Pengurusnya, Rozi Mamat berkata, beliau yakin pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman itu mampu pergi lebih jauh dengan memberi komitmen dan fokus pada setiap perlawanan.


Rozi Mamat menyampaikan duit raya kepada salah seorang anak yatim sempena majlis berbuka puasa anjuran Majlis Sukan Negeri Terengganu di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, semalam. Gambar - Harish Fadzillah

Menurutnya, pasukan itu optimis untuk membawa pulang piala berprestij itu ke Terengganu dan akan bekerja keras untuk mencapainya melalui beberapa perubahan besar terutamanya dari segi persembahan dan corak permainan.

“Namun begitu, keupayaan pasukan yang bertanding tidak boleh dipandang mudah kerana setiap pasukan ada kekuatan masing-masing,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT). Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda dan Pengarah MSNT, Zainal Abidin Hussin.



Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan duit raya kepada lebih 50 anak yatim dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong dan meraikan beberapa atlit negeri serta ahli Kelab Permotoran Negeri Terengganu.

Rozi, T'Team ditempatkan dalam kumpulan D bersama pasukan Selangor, Kuala Lumpur serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dua pasukan teratas akan layak kepusingan suku akhir Piala Malaysia.

Katanya, T'Team telah membuat persediaan bagi menghadapi kejohanan itu sebaik sahaja pertandingan Liga Super berakhir.


Sebahagian ahli Kelab Permotoran Negeri Terengganu Terengganu mengambil peluang bergambar dengan Rozi Mamat selepas majlis itu.

Beliau berkata, beberapa perlawanan persahabatan juga diatur di Selangor bagi menguji keupayaan pemain dan pasukan T'Team selepas Aidilfitri.

“Kali ini, T'Team memang berazam membawa pulang Piala Malaysia dan bagi mencapai sasaran itu, kami bakal menggunakan khidmat beberapa pemain luar bagi memantapkan lagi pasukan ini,” ujarnya.