Halaman

08 August 2011

PUSPANITA DAERAH BESUT ZIARAH PESAKIT DI HOSPITAL BESUT

Oleh: Mohammad Ishak


Rohayati (tengah)beramah mesra dengan seorang pesakit di Hospital Besut


PUSPANITA Daerah Besut mendahului pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di daerah ini dengan mengadakan sesi ziarah pesakit di Hospital Besut, sempena sambutan kehadiran ramadan tahun ini.

Pengerusinya, Rohayati Mustaffa yang juga isteri Pegawai Daerah Besut,A Rahim Jusoh, bersama 15 ahli jawatankuasanya memilih Hospital Besut, untuk menemui pesakit sambil menyampaikan hamper.

Katanya, program pertama anjuran Puspanita itu selepas mengadakan mesyuarat agung tahunan awal bulan ini bertujuan mendekatkan pertubuhan ini dengan komuniti selain membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Menurutnya, kunjungan ke HB sambil menemui pesakit di wad perempuan dan kanak-kanak dapat meningkatkan semangat pesakit selain memberi keinsafan kepada jawatankuasa sendiri.

Rohayati pengerusi baru yang dipilih pada mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu merancang lebih banyak program berbentuk kemasyarakatan dan agama sepanjang bulan Ramadan ini.

Sempena lawatan ke HB beliau turut menyampaikan sumbangan hamper kepada 27 pesakit masing-masing 16 wanita dan 11 kanak-kanak.

Beliau berharap, dengan adanya sumbangan seumpama itu dapat mengurangkan rasa rindu terhadap keluarga selain merapatkan perhubungan antara ahli jawatankuasa dengan masyarakat setempat.