Halaman

11 August 2011

PERKIM BESUT TERBAIK DI MALAYSIA

Oleh: Mohammad Ishak


YB Nawi kiri dan Muhammad Pehimi menghadiri majlis berbuka puasa anjuran PERKIM Besut

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Besut, dikitiraf oleh Perkim Pusat sebagai yang terbaik di Malaysia kerana berjaya membawa organisasi itu dalam pelbagai aspek termasuk pengurusan dan keaktifan menjalankan aktiviti sepanjang tahun lalu.

Penasihatnya, Nawi Mohamad, berkata beliau bangga kerana pimpinan pertubuhan itu berjaya mengharumkan nama negeri dalam bidang dakwah dan sosial ke peringkat kebangsaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, berkata kejayaan itu adalah usaha gigih ahli jawatankuasa yang sentiasa berusaha mempelbagaikan aktiviti dakwah dikalangan saudara baru yang menganggotai pertubuhan itu.

Menurutnya, Perkim Besut kini mempunyai lebih 200 ahli di bawah pimpinan Anuar Hassan selaku pengerusi mampu menyampaikan dakwah kepada ahli menerusi kegiatan yang dilaksanakan sepanjang masa.

“Sokongan padu ahli jawatankuasa juga memberi kesan baik sehingga ia diiktiraf sebagai Perkim terbaik peringkat kebangsaan tahun lalu,” katanya pada majlis berbuka bersama ahli jawatankuasa Perkim Besut di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur, Bukit Keluang, Besut, di sini petang semalam.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof dan barisan kepimpinan Perkim bersama ahli keluarga mereka.

Sementara itu, Anuar berkata, kejayaan pertubuhan berkenaan memperolehi anugerah peringkat kebangsaan kerana sistem pengurusan yang sistematik dalam pertubuhan selain keupayaan ahli jawatankuasa menjalankan pendekatan dakwah menerusi aktiviti semasa.

Katanya, Perkim Besut bukan sahaja berjaya menarik minat saudara baru dari bangsa Cina, India dan Siam malah usaha juga dilakukan bagi menarik masyarakat Orang Asli mendekati ajaran agama Islam.

“Program berbuka puasa di perkampungan Orang Asli di Hulu Besut serta menganjurkan majlis perkahwinan mengikut budaya Melayu dan ajaran Islam adalah antara program menarik di perkampungan berkenaan,” katanya.