Halaman

07 August 2011

PENIAGA PASAR RAMADAN DINASIHAT JANGAN JUAL MAKANAN BASI

Oleh: Mohammad Ishak



YB Dr A Rahman (bersongkok) melayani tetamu yang hadir pada majlis berbuka puasa di kediamannya di Kuala Besut

PENIAGA khususnya penjual di bazar Ramadhan dinasihatkan supaya tidak menjual makanan yang sudah basi ketika menjalankan peniagaan di bazar yang diwujudkan di seluruh negeri.ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata tindakan sesetengah peniaga yang mencari untung mudah dengan menjual makanan yang sudah basi dan bermalam perlu dihentikan kerana ia menimbulkan masalah kepada pengguna.

Katanya, sikap peniaga yang menyiapkan bahan makanan terlalu awal untuk jualan adalah punca menyebabkan makanan berkenaan mudah basi ketika ia dijual kepada orang ramai menjelang waktu berbuka puasa.

“Peniaga juga perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan dan pihak penguasa tempatan Majlis Daerah bagi menjaga kebersihan makanan dan tempat berniaga sepanjang bulan Ramadan,” katanya .

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Pejabat Penyelaras DUN Kuala Besut, di kediamannya semalam.

Kira-kira 1,000 penduduk sekitar kawasan DUN berkenaan menghadiri majlis yang diadakan di pekan Kuala Besut itu.

Hadir sama Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin,Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Mokhtar.
Majlis berbuka itu dianggap menarik dan unik apabila penduduk yang menghadiri majlis berkenaan membawa sendiri hidangan makanan seperti nasik, lauk dan kuih sambil bertukar juadah ketika berbuka puasa.

Amalan seperti itu dikatakan menjadi tradisi kepada penduduk tempatan yang sebahagian besarnya nelayan kerana mereka menganggap ia satu kemeriahan selain orang ramai juga dapat menikmati makanan yang berbeza pada majlis itu..