Halaman

24 August 2011

Pemuda dan Puteri UMNO Kuala Nerus anjur dua program amal

Oleh: Suriati Ali

Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Kuala Nerus akan menganjurkan program Cakna Aidilfitri Bersama Anak Yatim Kuala Nerus dan Kayuhan Sahur Ambang Merdeka di dua lokasi berasingan pada 25 Ogos (esok).

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Nerus, Encik Apli Yusof, berkata pihaknya prihatin menganjur kedua-dua program amal itu kerana menyedari golongan yang bakal terlibat dengan program terutama anak yatim memerlukan perhatian dan bantuan daripada pelbagai pihak untuk menyambut Hari Raya.

Katanya, seramai 120 anak yatim dan kanak-kanak daripada keluarga miskin di kawasan Kuala Nerus dipilih untuk menyertai program cakna Aidilfitri yang akan diadakan di Pasar Raya Giant, Kuala Terengganu bermula jam 4 petang esok.

“Apa yang istimewanya, kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah itu boleh memilih sendiri kelengkapan raya seperti baju Melayu, baju Kurung, kasut dan tudung sambil dibantu penganjur program.

“Apabila siap membeli kelengkapan yang diiginkan, mereka dijemput untuk berbuka puasa di Restoran T’Cafe D’Muara di Kampung Losong,” katanya.

Manakala program Kayuhan Sahur Ambang Merdeka pula akan bermula di Pulau Duyung, Kuala Terengganu pada jam 11 malam pada hari yang sama.

“Seramai 120 penduduk termasuk semua wakil rakyat di Parlimen Kuala Nerus dan Pemuda Umno Bahagian Kuala Nerus dijangka menyertai program yang julung kali diadakan ini.

“Sebanyak 15 kawasan, termasuk Balai Polis (BP) Tepoh; BP Gong Badak; Polis Gerakan Am, Kubang Badak; Kilang Utusan, Gong Badak dan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Seberang Takir bakal menjadi lokasi singahan peserta program,” katanya.