Halaman

15 August 2011

Pemimpin Marang anjur Majlis Berbuka Puasa

Oleh: Amirullah Othman

Majlis Berbuka Puasa yang dianjurkan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, di kediaman beliau di Kampung Gelugor Kedai, Marang, malam kelmarin, dihadiri pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.



Seramai 600 orang hadir ke majlis tersebut yang diadakan khusus bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin masyarakat dan penduduk tempatan.

Majlis tersebut dimulakan dengan ceramah tentang fadhilat Ramadan, tahlil dan majlis berbuka. Selepas itu semua hadirin menunaikan solat maghrib dan Isyak secara berjemaah, diikuti solat Tarawih.

Dato’ Haji Abdul Rahman dalam ucapannya, meminta masyarakat Marang supaya bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana memberi rezeki yang melimpah ruah kepada rakyat negeri Terengganu dan Malaysia.

Beliau meminta mereka supaya menjaga perpaduan dan tidak melakukan sebarang kegiatan yang boleh memecah-belahkan umat Islam.