Halaman

25 August 2011

MKJR edar 1,000 risalah kempen keselamatan jalan raya

Oleh: Amirullah Othman



Setiap kali menjelang musim perayaan, kempen keselamatan jalan raya turut menjadi agenda penting Kerajaan Negeri bagi mengurangkan kadar kemalangan agar tidak ramai yang terkorban.

Di atas kesedaran itu, pihak keselamatan termasuk polis, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri saling bekerjasama menguatkuasakan peraturan lalu lintas.

Sempena Program Ops Sikap dan Kempen Rumah Selamat peringkat negeri Terengganu kali ini, Kerajaan Negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengagihkan lebih 1000 risalah keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya berhampiran Dataran Budaya Pantai Kelulut, Marang, petang semalam.

Kempen tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan.

Selain bagi mengurangkan kadar kemalangan, pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya juga mendesak Kerajaan Negeri dan agensi penguat kuasa tersebut untuk melipatgandakan usaha bagi menguatkuasakan peraturan melalui kempen seumpama itu.

Kempen ini secara tidak langsung membuktikan masalah keselamatan jalan raya adalah antara agenda penting dalam pembangunan negeri apabila kerajaan mengutamakan kebajikan dan keselamatan penduduk dalam mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.