Halaman

27 August 2011

Menteri Besar rai kemeriahan Pertandingan Pelita Raya

Oleh FAUZI MOHD



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said meluangkan masa kira-kira sejam bagi meraikan kemeriahan Pertandingan Pelita Raya 2011 bersama penduduk di beberapa buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, malam tadi.

Beliau yang ditemani isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud berpeluang menyaksikan lebih 12,000 pelita yang dipasang di lima buah kampung sebagai amalan warisan setiap kali menjelang Aidilfitri.

Program anjuran Muzium Terengganu dengan kerjasama Kerajaan negeri dan Pejabat Kementerian Pelancongan itu disertai kira-kira 200 penduduk yang melibatkan Kampung Raja Tepoh, Kampung Baru, Kampung Padang Hangus, Kampung Pagar Ubi dan Kampung Tokeng.

Menteri Besar berkata, usaha yang dijalankan oleh pihak muzium itu sememangnya bertepatan dengan matlamat penambahbaikan kepada pengekalan dan pemuliharaan warisan tradisi itu.

“Kemuncak pada pertandingan selama tiga malam ini ialah pada malam tujuh likur yang akan menggamit nostalgia berpuasa satu ketika dulu," ujarnya.

Turut serta dalam kunjungan itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Muzium Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah.

Kreativiti para peserta yang bertanding menonjolkan aturan pelita dalam pelbagai bentuk seperti kubah masjid, kapal layar, kincir angin, beca, wau bulan, pintu gerbang dan pokok kelapa menjadi panorama mengasyikkan di sekitar kampung itu.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, selain pembiayaan daripada Muzium Terengganu dan Pejabat ADUN Tepoh, Kerajaan negeri akan memberi peruntukan khas untuk pertandingan itu pada tahun hadapan.

"Kita harap, dengan peruntukan itu, hadiah yang ditawarkan lebih lumayan dan bilangan perserta yang masuk bertanding bakal meningkat.

"Justeru, saya yakin pertandingan ini mendapat sambutan yang meriah kerana ia merupakan salah satu produk pelancongan negeri yang turut mendapat perhatian pelancong asing," katanya.

Sementara itu kata Mohd. Yusof, johan bagi pertandingan berkenaan bakal menerima wang tunai RM1,000 manakala naib johan RM750 diikuti RM300 untuk tempat ketiga dan tujuh hadiah saguhati bernilai RM250 untuk setiap kampung yang bertanding.