Halaman

09 August 2011

Maidam peruntuk RM1.3 juta bina 38 unit rumah golongan miskin

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM1.3 juta bagi membina 38 unit rumah untuk golongan miskin di Kampung Banggol Peradong, Manir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, projek berkeluasan 3.5 ekar itu turut menerima peruntukan tambahan Kerajaan negeri sebanyak RM1.2 juta bagi membina sistem perparitan, jalan dan kemudahan asas yang lain.

Menurutnya, golongan miskin dan kurang berkemampuan yang mendiami rumah teres tiga bilik itu dikenakan bayaran sebanyak RM50 sebulan dan fasa pertama itu dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

“Projek ini memberi peluang kepada keluarga berkenaan untuk mendapat tempat penginapan yang lebih selesa sehingga mereka mampu berdikari dan memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa dan agihan zakat saudara baru di Kompleks Darul Hidayah, petang semalam.

Tambah Wan Harujan, fasa kedua akan diteruskan berdasarkan sambutan yang diterima dan projek seumpama itu pernah dilaksanakan sebelum ini oleh pihak Maidam di Kampung Air, Kemaman yang melibatkan pembinaan 16 unit rumah pada tahun 1990.

Sementara itu katanya, Maidam memperuntukkan bantuan zakat Hari Raya sebanyak RM360,000 untuk disalurkan kepada 1,000 asnaf mualaf tahun ini.

Menurutnya, setiap mualaf atau 'saudara kita' menerima RM350 bagi tanggungan kurang daripada tiga orang manakala tanggungungan lebih dari empat orang, Maidam peruntukkan RM450.

“Selain itu, peruntukan berjumlah RM16,000 berupa biskut raya sedang diagihkan secara berperingkat di seluruh negeri sebagai hadiah kepada saudara kita untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Katanya, Maidam dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu (JHEAT) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) turut melaksanakan enam lagi program Ihya Ramadan untuk golongan berkenaan.

“Selain majlis berbuka puasa dan agihan zakat di Kemaman dan Besut, program Ziarah Dakwah turut diadakan tiga perkampungan orang asli di Kampung Sungai Pergam, Kemaman; Kampung Sungai Sayap, Besut dan Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu.

“Turut diadakan Kem Ramadan Saudara Kita dan Masyarakat Orang Asli di Demong Beach Resort, Besut selama tiga hari bermula 18 Ogos ini,” kata Wan Harujan.