Halaman

11 August 2011

Ladang Ketengah keluar 126,591mt hasil sawit setahun

Oleh: Esah Abdullah

Kumpulan Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd memiliki ladang kelapa sawit seluas 6,873 hektar seluruh negeri dengan pengeluaran hasil 126,591 metrik tan (mt) tahun lalu.


Pengurus Besar Ketengah, Dato' Haji Hamzah Ngah

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Dato’ Haji Hamzah Ngah berkata, Kilang Rakyat Ketengah Perwira juga telah berjaya memproses 249,820 mt buah tandan segar (BTS) yang diperolehi daripada ladang-ladang syarikat dan juga dari luar.

Katanya, antara lima ladang milik syarikat, Ketengah Perwira mempunyai ladang sawit paling luas iaitu 2,986 hektar manakala Ketengah Jaya 2,891 hektar, YIT-Ketengah Perwira (715 hektar), Kebunika (142 hektar) dan ladang Ternak Tani (139 hektar).

“Harga purata kasar kelapa sawit yang dapat dicapai tahun lepas sekitar RM639/mt berbanding RM494/mt tahun sebelumnya,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, peningkatan harga kelapa sawit merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan keuntungan yang diperolehi di samping kecekapan dalam pengurusan syarikat.

Daripada keuntungan itu katanya, syarikat telah membayar zakat berjumlah RM973,505 berbanding tahun lalu RM443,604 dengan peningkatan sebanyak 119.45 peratus.